Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)
Pada bulan Oktober 2006 yang lepas, pihak jabatan agama
sebuah negeri telah menyerbu masuk bilik sebuah hotel atas
laporan sedang berlakunya kes khalwat di dalamnya.
Namun ternyata laporan tersebut adalah tidak tepat
kerana yang ditemui adalah dua orang pelancong
Mat Saleh dari Amerika Syarikat dalam lingkungan umur 60an.
Peristiwa ini tidak berhenti di situ. Pelancong tersebut
telah membawa kes ini ke pihak atasan, termasuk kepada
menteri pelancongan. Seterusnya peristiwa ini mendapat
sambutan hangat daripada akhbar-akhbar tempatan berbahasa Inggeris,
sekali gus membawa imej Islam yang sememangnya rendah ke tahap yang lebih rendah.

Menyentuh pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar,
umat Islam sememangnya terbahagi kepada dua titik ekstrim.
Titik ekstrim pertama adalah mereka yang menelantarkan
pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar,
sama ada kerana tidak tahu tentangnya,
menganggap ia adalah urusan pemerintah
semata-mata atau kerana terpengaruh kepada pemikiran
hak asasi manusia (human rights) yang kini mula mendapat
tempat sebagai agama terbaru dunia mutakhir.
Pemikiran ini antara lain menerangkan bahawa
melakukan yang baik (ma’ruf) atau yang buruk (mungkar)
adalah hak masing-masing individu. Seseorang itu tak perlu
campur tangan hak orang lain sama ada untuk menyuruh
dia melakukan yang ma’ruf atau melarangnya daripada melakukan yang mungkar.
Pemikiran seperti ini bertentangan dengan ajaran Islam
dan sesiapa sahaja yang memiliki pemikiran yang matang lagi luas,
kerana mana-mana individu yang melakukan sesuatu yang
ma’ruf atau mungkar atas dasar haknya yang tersendiri,
lambat laun tetap akan memberi kesan kepada orang di sekelilingnya.
Lebih merosakkan adalah fitrah manusia yang lebih
cenderung kepada yang mungkar, dimana kemungkaran
yang dilakukannya secara berseorangan lambat laun tetap
akan memberi kesan negatif kepada orang di
sekelilingnya secara khusus dan masyarakat secara umum.
Titik ekstrim kedua adalah mereka yang melaksanakan
amar ma’ruf dan nahi mungkar, akan tetapi tanpa
memerhatikan syarat-syaratnya. Mereka adalah orang-orang Islam
yang sayangkan agama dan umatnya serta ingin mengembangkan
yang ma’ruf dan menyusutkan yang mungkar di tengah-tengah
masyarakat yang bergelombang dengan pelbagai cabaran luar dan dalam.
Akan tetapi semangat mereka mendahului ilmu dan
kematangan sehingga usaha mereka melahirkan hasil yang sebaliknya,
yang ma’ruf tetap pada tahap yang minimum manakala yang
mungkar tetap kekal atau malah bertambah lagi.
Untuk manfaat bersama, pada kesempatan ini saya
ingin menerangkan syarat-syarat pelaksanaan amar ma’ruf
dan nahi mungkar agar hasilnya lebih berkesan insya-Allah.
Semoga dengan syarat-syarat ini, kita berada di pertengahan
antara dua titik ekstrim di atas.
Syarat Pertama: Ikhlas
Pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah terlebih
dahulu didasari dengan niat yang ikhlas. Amar ma’ruf dan nahi
mungkar hendaklah dilaksanakan demi menjaga ketulenan
agama Allah (Islam) serta kasih sayang kepada umat dan
prihatin untuk membetulkan keadaan mereka.
Dua tujuan yang terakhir ini adalah berdasarkan sifat Rasulullah sendiri:
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari
golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w),
yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan
yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan)
kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan
belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.
[Maksud surah al-Taubah, ayat 128]
Tidak boleh melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar
kerana ingin mempertayangkan kehebatan diri,
merasa hebat dalam pakaian seragam, merendah-rendahkan
orang dan sebab-sebab lain yang menjauhi keikhlasan.

Syarat Kedua: Berilmu
Pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah
berdasarkan ilmu yang sahih. Perkara ma’ruf yang disuruh
hendaklah sesuatu yang benar-benar ma’ruf dan perkara
mungkar yang dilarang hendaklah benar-benar mungkar
mengikut ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan kefahaman
generasi awal, iaitu al-Salaf al-Shalih. Tidak boleh menyuruh
kepada sesuatu yang ma’ruf padahal ia adalah mungkar dan
tidak boleh melarang sesuatu yang mungkar padahal ia adalah ma’ruf.

Satu contoh adalah sikap sebahagian umat Islam yang
melarang interaksi atau perbincangan antara lelaki dengan
wanita secara mutlak (ikhtilath). Larangan ini sebenarnya
adalah tidak tepat kerana ikhtilath itu sendiri dapat
dibahagikan kepada dua kategori, yang dibolehkan
dan yang dilarang. Ia dibolehkan jika ikhtilath
tersebut adalah perlu demi manfaat di sebaliknya dan
faktor-faktor yang boleh mengakibatkan fitnah dielakkan.
Ia dilarang jika ikhtilath tersebut adalah tidak
perlu dan faktor-faktor yang boleh mengakibatkan fitnah dibiarkan.
Sebagai contoh, di dalam al-Qur’an sedia diterangkan
ikhtilath yang dibolehkan, sepertimana kisah Nabi Musa
‘alaihi salam dengan dua orang wanita dalam surah al-Qasas, ayat 23.
Demikian juga kisah Nabi Sulaiman ‘alaihi salam dengan
Puteri Balqis yang dirakamkan dalam surah al-Naml, ayat 44.
Selain itu dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim, diterangkan
bagaimana seorang peniaga telah membuka gerai jualannya
di bawah/tepi rumah Asma’ binti Abu Bakar,
peristiwa isteri Abu Usaid as-Saidi yang menjamu
Rasulullah dan para sahabat di majlis perkahwinannya
sendiri serta kisah A’isyah yang merawat Bilal bersama
ayahnya (Abu Bakar as-Shiddiq) ketika mereka berdua
jatuh sakit saat berhijrah ke Madinah. Semua ini menunjukkan
ikhtilath tidak dilarang jika ia dapat membawa manfaat
dan dihindari apa-apa faktor fitnah di sebaliknya.
Syarat Ketiga: Keutamaan
Pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah
mengikut prioriti keutamaannya. Dalam suasana jauhnya
Islam dan umatnya daripada ketulenan al-Qur’an dan
al-Sunnah serta banyaknya cabaran yang merosakkan
agama dan umat, sama ada dari dalam atau dari luar,
maka pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar
hendaklah disusun mengikut prioriti kepentingannya.
Tidak boleh memberi tumpuan kepada isu-isu yang keci
l padahal isu-isu besar yang lain terabai atau diambil
alih oleh pihak yang menanganinya dengan cara yang
tidak selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah.

Contoh isu besar yang terkini ialah bid’ah pemikiran Islam Liberal,
bid’ah pemikiran pluralisme (semua agama adalah sama dan benar),
bid’ah pemikiran feminisme (wanita hendaklah menjadi lelaki
dan pada waktu yang sama membenci lelaki),
bid’ah pemikiran hak asasi manusia
(setiap manusia bebas melakukan apa yang dikehendakinya),
masalah murtad, masalah orang yang membesar-besarkan isu murtad,
penyakit aids, hubungan seks antara pelajar dan anak luar nikah.
Isu-isu ini patut diberi prioriti di atas isu lafaz niat, doa qunut Subuh, tahlil dan talqin.
Memberi tumpuan kepada menghidupkan sunnah dan
membasmi bid’ah termasuk dalam usaha amar ma’ruf
dan nahi mungkar. Akan tetapi perlu dibezakan bahawa
bid’ah itu sendiri terbahagi kepada dua kategori,
iaitu bid’ah pemikiran dan bid’ah amalan.
Antara kedua-dua kategori bid’ah ini, bid’ah pemikiran
perlu diberi prioriti kerana ia lebih mengancam
dan lebih berkesan dalam merosakkan Islam dan umatnya.
Lebih mengancam kerana ia mencemari asas-asas aqidah
Islam itu sendiri (oleh kerana itu ia juga disebut
sebagai bid’ah al-Iqtiqadiyyah) dan lebih merosakkan
kerana ia dilancarkan secara bijak dan berleluasa oleh
orang-orang yang memiliki pengaruh dan kedudukan
dalam masyakarat. Sebaliknya bid’ah kategori kedua
hanya merupakan amalan orang-orang awam yang
kurang pengetahuan dalam agama tetapi memiliki
keinginan untuk memperbanyak atau memperkemas
ibadah mereka kepada Allah.
Orang-orang seperti ini, jika diberi nasihat dan didikan
yang berhikmah, akan membetulkan amalan mereka
daripada menokok tambah yang bid’ah kepada berpada-pada
dengan yang sunnah. Setakat ini kelihatan usaha menghidupkan
sunnah dan membasmi bid’ah banyak tertumpu kepada
kategori amalan. Maka prioriti usaha ini perlu
diubah kepada menghidupkan sunnah dan membasmi bid’ah dalam kategori pemikiran.
Syarat Keempat: Berwawasan
Pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar hendaklah
dengan memerhatikan hasil atau akibatnya. Iaitu: ·
Tidak boleh menyuruh satu perkara yang ma’ruf jika dengannya
terhilang kema’rufan lain yang lebih besar atau dengannya
terhasil kemungkaran yang baru. · Tidak boleh melarang
satu perkara yang mungkar jika dengannya kemungkaran
menjadi lebih besar, atau terhasil kemungkaran yang baru,
atau dengannya terhalang kema’rufan yang lain.
Semua ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka
sembah yang lain dari Allah kerana mereka kelak akan
mencerca Allah secara melampaui batas dengan
ketiadaan pengetahuan. [al-An’aam, ayat 108]
Pada zaman Rasulullah s.a.w., pernah seorang arab
Badwi membuang air kecil di dalam masjid.
Para sahabat bergegas melarangnya tetapi Rasulullah
melarang mereka dan membiarkan Badwi tersebut
menyelesaikan pembuangan air kecilnya. Setelah itu barulah baginda
menegur Badwi tersebut dan memberi tunjuk ajar kepadanya.
Dalam peristiwa di atas yang tercatit dalam Shahih Muslim (nombor 285),
Rasulullah tidak secara terus melarang kemungkaran yang
berlaku di hadapan matanya, di dalam masjidnya.
Jika kemungkaran tersebut dilarang serta merta,
akan berlaku kemungkaran lain yang lebih besar.
Badwi tersebut mungkin cuba melarikan diri
dan ini akan menyebabkan air kencingnya bertaburan
di sekeliling masjid manakala auratnya akan dilihat
oleh orang ramai. Atau badwi tersebut mungkin akan berhenti,
menahan dirinya dari membuang air kecil dan
ini akan membawa mudarat kepada kesihatannya.
Wawasan yang dimiliki oleh Rasulullah menyebabkan
baginda tidak melarang kemungkaran yang dilakukan oleh
Badwi tersebut serta merta kerana ia akan melahirkan
kemungkaran lain yang lebih besar. Baginda hanya menegur
setelah urusannya selesai manakala para sahabat disuruh
oleh baginda untuk menyiram air di kawasan terbabit.
Peristiwa di atas, sekali pun kecil, perlu dijadikan
iktibar oleh kita semua. Hendaklah pengajarannya dipraktik
dan diperluaskan kepada pelbagai senario yang kita hadapi
masa kini. Pada pengamatan saya, syarat keempat
inilah yang paling tidak diketahui atau diperhatikan
oleh sesama umat Islam dalam rangka melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Syarat Kelima: Berakhlak
Pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar
hendaklah melalui akhlak yang mulia. Memandangkan pada masa
kini kurangnya perkara ma’ruf dan banyaknya perkara mungkar
adalah kerana jauhnya umat Islam daripada agama mereka yang tulen,
maka hendaklah akhlak mendidik (tarbiyah) dijadikan kaedah
utama untuk melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Seterusnya akhlak mencela, menghukum dan memulau (boycot)
ditinggalkan kerana ia tidak menghasilkan kema’rufan yang diingini,
sebaliknya mengekal atau menambah lagi kemungkaran.

Termasuk dalam akhlak mendidik ialah bijak menyusun strategi
agar pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar menjadi
berwawasan dan menepati sasarannya. Lazimnya akhlak
mendidik dalam pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar
tidak akan menghilangkan perkara ma’ruf yang lain atau
menghasilkan serta menambah perkara mungkar yang baru.
Syarat Keenam: Tidak Berprasangka atau Mengintip
Dalam rangka melaksanakan nahi mungkar, kita ditegah
daripada berprasangka kepada orang lain, jauh sekali
daripada mencari-cari kesalahannya. Tidak boleh bertindak
atas laporan yang tidak dikenali kesahihannya. Tidak boleh
mengintip dan memata-matai dalam rumah atau ruang hidup
peribadi seseorang. Upaya melarang kemungkaran hanya
dibolehkan jika ia berlaku secara jelas, tanpa syak,
ragu atau dicari-cari. Syarat ini adalah berdasarkan firman
Allah yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari
sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. [al-Hujurat, ayat12]

Justeru tindakan mengintip, memata-matai dan menyerbu
ke dalam rumah atau ruang hidup persendirian perlu dihentikan.
Sebaliknya hendaklah usaha pelaksanaan nahi mungkar
ditumpukan kepada aktiviti yang berlaku dalam ruang terbuka
dan tempat-tempat umum seperti kelab malam dan rumah urut.
Pengecualian adalah terhadap kemungkaran yang bakal
memberi kesan buruk lagi meluas kepada manusia dan harta benda,
seperti aktiviti membuat bom atau merancang tindakan
menggempar orang ramai (terrorisme). Dalam pengecualian ini,
tindakan mengintip, memata-matai dan menyerbu ke
dalam rumah atau ruang hidup persendirian dibolehkan.
Syarat Ketujuh: Tidak Menghebahkannya
Jika seseorang itu secara jelas didapati melakukan kemungkaran,
usaha untuk melarang kemungkaran tersebut hendaklah dilakukan
tanpa mendedahkan identiti pelakunya. Hendaklah diberi teguran,
nasihat dan peringatan secara tersembunyi. Tidak boleh
mengumumkan kemungkaran dan identiti pelakunya sehingga
diketahui oleh orang ramai. Tindakan ini dilarang keras oleh Allah dengan ancaman:

Sesungguhnya orang-orang yang suka dihebahkan
(tuduhan atau berita) yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,
mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya
di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara)
sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). [Maksud surah al-Nur, ayat 19]
Pada masa kini, tindakan membawa orang yang didapati
melakukan kemungkaran ke mahkamah perlu dikaji semula.
Ini kerana tindakan tersebut akan mendedahkan identiti orang
yang terbabit dan kemungkaran yang dilakukannya.
Sekali pun yang mendedahkannya adalah pihak media,
pihak yang diberi amanah melaksanakan amar ma’ruf
dan nahi mungkar perlu memainkan peranan aktif untuk
menutup identiti orang yang terbabit.
Demikian tujuh syarat yang perlu diperhatikan oleh
setiap individu sebelum melaksanakan amar ma’ruf dan
nahi mungkar. Setelah itu, hendaklah kita bersabar dalam
menantikan hasilnya dan sabar dalam menerima
cabaran-cabaran yang bakal timbul. Tidak boleh
cepat putus asa atau hilang semangat sebagaimana pesan Luqman kepada anaknya:

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang,
dan suruhlah yang ma’ruf serta laranglah daripada yang mungkar,
dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.
Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
melakukannya.” [Maksud surah Luqman, ayat 17]
————————————–
KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin
menjelaskan beliau tidak membantah operasi khalwat,
tetapi mengingatkan pegawai penguat kuasa agama
mengamalkan kaedah dianjurkan Islam dan bukan
untuk tujuan mengaibkan pasangan ditahan.
Pendapat beliau disokong Timbalan Mufti Sarawak,
Dr Juanda Jaya, yang berpendapat konsep ‘amal makruf nahi mungkar’,
termasuk operasi mesti diteruskan tetapi ia tidak harus
berdasarkan syak, sebaliknya berasaskan keyakinan.

Mohd Asri, 35, berkata sejajar konsep menutup keaiban
seseorang dianjurkan Islam, operasi itu tidak boleh
dilakukan untuk memalukan seseorang, sebaliknya
dengan niat mencegah kemungkaran tetapi berasaskan
laporan yang bersifat diyakini oleh pihak yang membuat laporan.
“Islam menyatakan jangan kamu syak. Jauhilah daripada sangkaan.
Jangan kamu intip-mengintip. Kalau pegawai penguat
kuasa dapat laporan, dia kena siasat sama ada laporan itu
betul atau tak betul. Kalau tak pasti, biarkan.
Perkara yang tak pasti, jangan masuk campur.
“Mungkar yang terbuka, kita tak kacau pun.
Orang berpeluk atas pentas, disiarkan dalam televisyen, kita tak kacau pun.
Yang dalam bilik kita pergi cari. Adakah ia terbit daripada
kesungguhan atau sentimen? Dia tak kisah apa yang berlaku
depan matanya. Dia tunggu orang masuk bilik,
baru tangkap,” katanya kepada ditemui di sini, semalam.
Mohd Asri dan Juanda menghadiri mesyuarat berkaitan
kaedah pengeluaran logo halal anjuran
Jabatan Peguam Negara di sebuah hotel di sini.
Kelmarin, akhbar ini menyiarkan kenyataan Mufti Perak,
Datuk Seri Harussani Zakaria; Ahli Kehormat Utama
Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ahmad Awang
dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia,
Zainul Rijal Abu Bakar yang menolak pendapat
Mohd Asri sebelum ini yang menyifatkan perbuatan
mengintip dan menahan pasangan disyaki berkhalwat
sebagai melanggar hak individu dan harus dihentikan.
Mohd Asri menjelaskan, khalwat adalah dosa antara
seseorang dengan Allah dan umat Islam yang lain
seboleh-bolehnya harus menutup keaiban itu untuk
memelihara maruahnya, sejajar konsep memelihara
maruah umat yang dianjurkan Islam untuk membimbingnya
ke jalan benar. “Saya bercakap memberi imej
kepada Islam supaya agama kita jangan dipersendakan.
Kalau dosa antara manusia dengan Tuhan hendak diintai
dan diperiksa, kita juga kena periksa pasangan
yang naik kereta berdua-duaan. Kalau ada aduan yang jelas,
baru kita bertindak. Hari ini, ada tangkapan tidak jelas.
Kenapa media dibawa. Apa tujuannya,” tanyanya.
Sementara itu, Juanda, 34, berkata falsafah Islam
adalah memberi rahmat kepada umatnya,
bukan untuk menjatuhkan maruah mereka
dengan menghebahkan kepada umum.
“Kalau jenayah membabitkan dia dengan Allah, seboleh-bolehnya kita tutup.
Kalau jenayah membabitkan dia dengan manusia,
kena ada perundingan sama ada orang itu reda atau tidak.
“Amal makruf nahi mungkar kena ada adab.
Kita kena mendidik, bukan menghukum.
Bukan sifat Islam hendak mengesyaki orang.
Islam tak suruh kita memalukan orang. Manusia berdosa,
tetapi berilah peluang dia bertaubat tetapi kalau dia
sudah dimalukan, nanti dia kata alang-alang
menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” katanya. ———————–

Demikian kucar kacir nya kita, dalam usaha amal
ma’ruf nahi mungkar juga tidak menghidupkan sunnah.
Seolah2 tujuan membebaskan kita daripada sunnah itu sendiri.
Jangan melenting, jangan emosi jika timbul isu sebegini.
Fikirkan, renung dan amatilah dengan teliti.
Hidup ini sememangnya tidak akan terlepas dari sunnah..wallahu’alam~
Posted at 07:07 pm by
nahwan

taken from blog ukhtie nahwan .. syukran ya ukhtie..