526974756l.jpg
Panduan calon & petugas hadapi pilihan raya
KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) –
Bagi menghadapi pilihan raya umum ke-12, selain usaha berlipat ganda dan menunaikan kewajipan agama, calon-calon PAS disaran untuk menguatkan amalan solat sunat tahajud dan hajat setiap malam di samping bermunajat kepada Allah SWT.
Ketua Dewan Ulama PAS Dato’ Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi berkata amalan ini sangat penting supaya calon-calon PAS dapat memantapkan keimanan,ketaqwaan dan akhlak seterusnya memberi kemenangan besar kepada PAS di seluruh negara dalam pilihan raya umum ini.
“Dalam pilihan raya ini pelbagai anasir tidak sihat muncul seperti khianat, sabotaj dan tindakan provokasi yang boleh mengundang kecelakaan.
“Oleh itu tiada ada jalan lain melainkan berdoa supaya Allah lindungi kita. Allah sahajalah yang jaga kita,”katanya ketika dihubungi Harakah.
Amalan-amalan itu juga katanya dapat membersihkan jiwa calon-calon PAS supaya sentiasa bermuhasabah, mendekatkan diri pada tuhan serta masyarakat termasuk menghindari daripada terlibat kepada perkara-perkara tidak baik yang boleh menjejaskan peluang mereka dalam pilihan raya nanti.
Beliau juga mahu calon-calon serta petugas-petugas menunjukkan tauladan dan keperibadian yang baik kepada para pengundi di samping terus komited kepada tuntutan agama.
“Kita berusaha dan berserah pada tuhan. Itu sahaja kemampuan kita jika nak dibandingkan dengan Barisan Nasional (BN) yang pakai macam-macam muslihat untuk menang termasuk menggunakan wang,”
Bagi para petugas dan pengundi, Ustaz Mohamed menyatakan segala gerak kerja dan usaha yang dilakukan bagi memastikan kemenangan perjuangan Islam akan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah.
“Jika kita pilih dan beri undi kepada orang yang buat kerja karut serta merosakkan agama Islam, kita akan mendapat balasan dosa.
“Usah susah hati, sama ada menang atau kalah segala yang kita lakukan bukan sia-sia tetap mendapat ganjaran pahala,” katanya yang memberi semangat kepada pengundi dan petugas parti.
Beliau turut memberi amaran bahawa dalam al-Quran turut menyebut perihal manusia yang salah guna wang yang bermaksud:”Selepas mereka membelanjakan wang ke jalan yang bukan Islam…ia akan menyesal di hari akhirat.”
“Undilah PAS kerana dasarnya yang jelas iaitu Islam dan bukan parti lawan yang berjuang demi kebendaan,” katanya.
Dalam pada itu Dewan Ulama PAS katanya telah membekalkan panduan amalan dan doa-doa pilihan kepada calon-calon dan para petugas untuk diamalkan sepanjang masa sebagai pencetus semangat khususnya menjelang tempoh kempen dan saat pilihan raya umum nanti.