shbt-sejati.jpg

 Sahabat
“PERSAHABATAN WUJUD DARI SATU PERKENALAN DENGAN SEPULUH PERTANYAAN, SERATUS KEYAKINAN, DAN SERIBU PENGORBANAN SERTA BERJUTA-JUTA PERJUANGAN DENGAN SATU KEIKHLASAN”.

Mencari kawan dan membina perkenalan tidaklah sepayah mencari sahabat dan membina persahabatan. Daripada seribu orang kawan mungkin hanya seorang yang layak dipanggil sahabat.


Siapakah sahabat?
Dia sanggup berada bersama kita dalam keadaan apa sekalipun. Ketika kita masih orang kecil, dia teman ke sana ke mari; ketika kita sudah menjadi orang besar, dia tidak terhegeh-hegeh mencari peluang. Tetapi dia di situ, sedia untuk menyokong kita supaya tidak rebah. Tanpa pengetahuan kita, dia sanggup berkorban membetulkan persepsi silap masyarakat terhadap kita. Dia berperanan sebagaimana kita masih orang kecil dahulu tanpa sebarang kepentingan.

Tatkala payung kita kuncup dia datang membawakan payungnya untuk kita. Lalu kita sama-sama berteduh di bawahnya. Jika payung kita kecil dan tidak muat untuk kita berdua, dia rela basah ditimpa hujan asalkan kita tidak basah sebagaimana dia.

Seorang sahabat itu sanggup memberikan apa sahaja yang kita perlukan, manakala apa yang kita perlukan itu ada di tangannya. Dia tidak mengharapkan balasan tetapi jujur untuk memelihara persahabatan.

Di manakah anda hendak mencari seseorang yang seperti ini? Sebab itulah mungkin seorang pun payah hendak dicari daripada seribu orang yang ada. Seorang sahabat seperti digambarkan dalam ejaan JUMAAT; jujur, unggul, matang, asli, amanah, dan teguh.

Dia Jujur, maka boleh diletakkan kepercayaan untuk tolong lihat-lihatkan keluarga kita tatkala kita berpergian.

Dia Unggul, maka kita boleh bersandar pada dia tatkala kita hilang motivasi diri.

Dia Matang, maka kita boleh dapatkan nasihat-nasihat berguna atau merujuk masalah-masalah semasa yang kita hadapi.

Dia Asli, maka peribadinya bukan ikutan atau tidak mudah luntur, tetapi selari dengan kehendaknya sebagai insan bertuhan.

Dia Amanah, maka ciri-ciri ini sangat diperlukan dalam persahabatan.

Dia Teguh, maka kita boleh bergantung padanya pada sangat-sangat getir.

Itulah ciri-ciri sahabat. Tentu payah untuk mendapatkannya. Ciri-ciri itu payah sebab kita sendiri tidak bersikap seperti itu. Kalau kita bersikap seperti itu, semua yang akan datang kepada kita tentulah orang yang seperti itu.

Jadi, usah harapkan orang berbuat baik kepada kita kalau kita sendiri tidak dapat melayaninya dengan yang lebih baik. Usah harapkan datang seseorang yang memiliki sifat-sifat jujur, unggul, matang, asli, amanah, dan teguh kalau kita sendiri seorang yang curang, len-iah, berfikiran singkat, mudah terpengaruh, tidak amanah, dan lembek.

Persahabatan itu bermula daripada satu bentuk perkenalan. Daripada satu perkenalan yang mudah menjadi erat apabila adanya pertanyaan, saling bertanya saling mahu kenal mengenal. Dari situ lahirnya keyakinan. Meskipun kadang-kadang terpaksa memberikan seribu pengorbanan serta berjuta-juta perjuangan.
Dr. HM Tuah Iskandar Al-haj Petikan: Dewan Agama 8, 2006

 

Jadilah Kawan Yang Baik

  • Kawan yang baik tak pernah mengumpat di belakang kawan baiknya.

  • Kawan yang baik tak pernah cemburu dengan kejayaan kawan baiknya. Sebaliknya kawan yang baik lah yang paling banyak membantu kawan baiknya untuk mencapai kejayaan.

  • Kawan yang baik tak pernah mempengaruhi kawan baiknya untuk membuat perkara yang buruk dan sia-sia.

  • Kawan yang baik adalah orang yang selalu menasihati kawan baiknya untuk berbuat kebaikan.

  • Kawan yang baik adalah orang pertama yang akan dicari bila tiba masa sedih atau gembira.

  • Kawan baik menjadi tempat kita meluahkan perasaan yang tak dapat diluahkan kepada kawan biasa.

  • Kawan yang baik tak pernah memaksa kawan baiknya untuk sentiasa berada disisinya.

  • Kawan yang baik tak pernah melarang kawan baiknya untuk berkawan dengan kawan yang baik .

  • Kawan yang baik tak pernah cemburu jika kawan baiknya mempunyai ramai kawan baik, kerana kawan yang baik tahu apa yang paling baik untuk kawan baiknya.

  • Kawan yang baik akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan kawan baiknya di dunia dan di akhirat di dalam doanya.

  • Kita adalah kawan yang baik jika kita faham bahawa kawan baik kita bukanlah seorang yang sempurna.

  • Kita adalah kawan yang baik jika kita menjadi kawan yang baik kepada kawan baik kita.

  • Kita bukanlah kawan yang baik jika kita tidak menghargai kawan baik kita, kerana kawan yang baik akan sentiasa menghargai kawan baiknya.

  • Kita bukanlah kawan yang baik jika kita tidak memberitahu perkara yang baik kepada kawan baik kita, kerana kawan yang baik akan selalu menyampaikan perkara yang baik kepada kawan baiknya.

Dan kalau kita hendak dapat kawan baik yang baik, kita mesti lebih dahulu menjadi seorang kawan yang baik kepada kawan kita. InsyaAllah.
Dah jadi kawan yang baik, berusahalah untuk tingkatkannya lagi dengan menjadi sahabat… Sahabat duduknya di tempat yang tertinggi diantara kawan, rakan dan teman….