IMBAUAN peristiwa Israk dan Mikraj menjelma lagi setiap kali tiba tarikh 27 Rejab. Rentetan peristiwa itu wajar dihayati kerana ia bukan sekadar mengisahkan perjalanan Rasulullah saw, tetapi adalah pengalaman bermakna dalam kehidupan peribadi Baginda.

 Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar mengandungi hikmah agung yang menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini. Al-Quran mengabadikan peristiwa itu dalam dua surah khas iaitu Surah al-Isra’ dan an-Najm’. Ia membuktikan impak sebenar peristiwa itu ialah membenarkan kerasulan Nabi Muhammad dan tidak menghadkan risalah (iaitu kitab al-Quran) yang dibawa Baginda bukan saja diturunkan kepada bangsa Arab semata-mata. Kitab al-Quran sesuai digunakan untuk setiap masa dan zaman.

Peristiwa Israk Mikraj adalah penghormatan besar yang diberikan Allah kepada seorang Nabi yang juga adalah rasul terakhir.

Perjalanan Rasulullah dalam peristiwa itu mencabar pemikiran manusia secara keseluruhannya. Hanya manusia yang beriman dan meyakini segala kekuasaan Allah saja, yang menerima kejadian itu sebagai kebenaran dan lambang kekuasaan Allah.

Namun, tidak kurang pula yang menolaknya mentah-mentah kerana apa yang berlaku dalam peristiwa Israk dan Mikraj tidak masuk dengan logik akal manusia secara lazimnya.

Peristiwa bersejarah Israk Mikraj yang berlaku setahun sebelum penghijrahan Rasulullah ke Madinah dianggap peristiwa besar dan penting kepada seluruh umat Islam. Ada sedikit khilaf dalam menentukan tarikh sebenar, tempat, bulan dan malam berlakunya peristiwa itu, tetapi ia tidak mematahkan keyakinan mukmin seluruh alam.

Ulama mencapai kata sepakat sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa itu hukumnya adalah kafir. Ini jelas apabila kita memahami firman Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjid al-Haram di Makkah hingga ke Masjid al-Aqsa di Palestin yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahui”. – (Surah al-Isra’: ayat 1).

Daripada riwayat sahih, diceritakan tentang beberapa kejadian yang berlaku kepada Rasulullah sebelum Baginda dibawa berjalan dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Diceritakan Baginda dibawa malaikat Jibril dari rumahnya ke Baitulmaqdis. Bersama Jibril, ada bekas (bejana) yang mengandungi hikmat dan iman, lalu dimasukkan ke dalam tubuh Rasulullah apabila selesai proses membelah dada dan penyucian hati dengan air zam-zam.

Kemudian, Allah mendatangkan suatu makhluk lain yang panjang dan berwarna putih serta boleh melangkah sejauh mata memandang, yang dinamakan buraq.

Lalu Rasulullah, dengan ditemani Jibril, berangkat (Israk) ke Baitulmaqdis menaiki buraq.

Dari BaitulMaqdis, Baginda kemudiannya Mikraj ke langit pertama hingga ketujuh. Allah memperlihatkan pelbagai kejadian aneh dan pelik kepada Rasulullah sepanjang perjalanan Baginda sebagai gambaran balasan kepada hamba-Nya yang berbuat kebaikan atau kemungkaran.

Peristiwa paling besar dan penting diterima Baginda ialah perintah Allah supaya umatnya melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidratul Muntaha, Rasulullah mengadap Allah untuk menerima perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya iaitu sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik menerima perintah itu, tanpa banyak bicara Rasulullah dan Jibril bersiap untuk turun ke bumi.

Pada ketika itu, Baginda bertemu Nabi Musa yang bertanyakan hal itu. Selepas mendengar penjelasan Rasulullah, Nabi Musa berkata: “Kembalilah kepada Tuhanmu, dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan itu tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.”

Rasulullah dan Jibril kembali mengadap Tuhan. Selepas dirayu, jumlah waktu solat dikurangkan Allah kepada 40. Apabila berjumpa Nabi Musa kemudiannya, dia meminta Rasulullah kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah itu.

Beberapa kali Rasulullah berulang alik, akhirnya Allah mengurangkan bilangan solat fardu daripada 40 kepada 10 dan akhirnya hanya menjadi 5 waktu saja.

Nabi Musa masih merasakan umat Muhammad tidak akan terdaya melakukannya dengan bilangan lima waktu solat. Nabi Muhammad segera menyatakan bahawa beliau sudah nekad untuk tidak lagi mengadap Allah meminta dikurangkan bilangan solat kerana dia sudah berasa malu untuk berdepan dengan Allah.

Biarpun jumlah solat itu dikurangkan menjadi lima, ganjaran pahala yang diperoleh tetap menyamai 50 kali. Ini kerana setiap kebaikan yang dilakukan akan diberi gandaan pahala sebanyak 10 dan bagi yang berniat saja akan diberi satu ganjaran pahala.

Selain menerima perintah solat, Rasulullah menyaksikan sendiri beberapa kejadian yang menggambarkan balasan yang akan diterima manusia setelah mereka meninggal dunia, di sepanjang peristiwa Mikraj itu.

Baginda melihat bagaimana sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap dan rumput. Jibril memberitahu Baginda bahawa golongan manusia itu adalah mereka yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda juga melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Ia gambaran manusia yang makan hasil amalan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk, sedangkan ada daging masak dan berkeadaan baik. Golongan itu ialah manusia yang melakukan zina sedangkan mereka mempunyai isteri yang dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepala sendiri. Ia adalah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal dunia sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda juga melihat sekumpulan manusia yang memotong lidah sendiri secara berterusan. Ia gambaran manusia yang suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

** additional info😉

Di langit pertama, baginda berjumpa Nabi Adam a.s., bapa segala manusia.
Setelah digambarkan kepada baginda beberapa keadaan ketika dimikrajkan (satu kelebihan diberikan kepadanya), beberapa peristiwa ngeri khususnya terjadi kepada golongan wanita yang dikatakan penghuni neraka yang paling ramai berdasarkan satu riwayat hadis.

Di langit kedua berjumpa dengan Nabi Isa dan Yahya a.s.

Di langit ketiga berjumpa dengan Nabi Yusof a.s.

Di langit keempat berjumpa dengan Nabi Idris a.s.

Di langit kelima berjumpa dengan Nabi Harun a.s. Di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa a.s.

Di langit ketujuh berjumpa dengan Nabi Ibrahim a.s.

Perkara itu berlaku kepada baginda yang diperlihatkan keadaan golongan wanita ahli neraka yang digantung dengan rambutnya, otak mendidih, nanah dan darah keluar daripada rongga terbuka dengan baunya yang cukup hanyir.

Ada wanita yang digantung dengan lidahnya, kemudian dituangkan air yang mendidih dari api neraka ke dalam rongganya.

Ada wanita yang diikat kakinya pada buah dadanya sementara kedua tangannya diikat pada ubunnya dan Allah memerintah kala jengking dan ular berbisa menyengatnya.

Ada wanita yang digantung (buah dadanya sahaja) sementara api menjulang di bawahnya.

Ada wanita di mana kepalanya seperti babi dan badannya seperti keldai, sementara ditimpa azab yang terlalu banyak ke atasnya.

Ada wanita badannya seperti anjing, sedangkan api sedang menyala masuk ke dalam mulutnya dan keluar menerusi duburnya, sementara para malaikat sedang memukul kepalanya dengan tongkat yang diperbuat daripada api neraka.

Itulah wanita yang enggan untuk menutup kepala dan dadanya dengan tudung di hadapan lelaki ajnabi, itulah juga wanita semasa hidup di dunia tidak mahu mandi junub dan haid serta lalai untuk bersembahyang.

Itulah juga wanita yang menyakiti tempat tidur suaminya, yang selalu suka mengadu perkara dusta, pembohongan, hasad dan dengki.

Begitulah yang diungkapkan Rasulullah s.a.w. di hadapan puterinya Fatimah dengan kata-kata: Hai anakku Fatimah! Neraka Wail buat wanita yang durhaka kepada suaminya.

Banyak lagi yang diperlihatkan Allah kepada Baginda dalam perjalanan Mikraj itu.

Semoga kita dapat merenung, menghayati dan bermuhasabah sebaik mungkin untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa Israk Mikraj yang dilalui Rasulullah sempena kehadiran bulan Rejab ini.

 wallahu’alam..  

http://ustazmoden.wordpress.com/2008/07/30/isra-mikraj-satu-kupasan-lengkap/

http://mindnumbingnotes.blogspot.com/2008/08/peristiwa-israk-mikraj.html

da'wa