Memperingati Masjid Al-Aqsa dibakar

TANGGAL 21 Ogos merupakan tarikh yang amat penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Apa tidaknya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) lahir kerana insiden 21 Ogos. Apakah yang berlaku sehingga persidangan ini tercetus?

Pada 21 Ogos 1969, seorang lelaki berbangsa Australia bernama Dennis Michael Rohan telah membakar Masjid Al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbarnya yang besar (mimbar Solahuddin).

Api marak dengan dahsyat sekali seolah-olah seluruh Masjid Al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan pihak bomba juga tidak hadir menghulur bantuan.

Namun, Allah SWT telah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Setelah itu orang-orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan. Lucunya, Rohan mendakwa bahawa dia diutus oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita dari Kitab Zakaria.

Apa yang menyedihkan kemudiannya ialah Yahudi membebaskannya dengan mengatakan Rohan ‘gila’, dengan kata lain, tidak waras.

Maka, atas sebab itu, Rohan tidak dapat dipertanggungjawabkan atas kejadian tersebut. Bertitik-tolak insiden menghinakan itu, negara-negara Islam di seluruh dunia bangkit mempertahankan tempat suci mereka dan mengecam perbuatan keji terhadap Al-Aqsa.

Maka sejak itu, 21 Ogos tanpa gagal diangkat sebagai Hari Al-Quds sedunia. Ia disambut sebagai tanda memperingati tragedi pembakaran masjid Al-Aqsa.

Tragedi tersebut merupakan catatan sejarah yang paling menyedihkan dalam sejarah umat Islam. Masjid Al-Aqsa yang begitu suci itu dihina sedemikian rupa.

Tidak menghairankan apabila semua umat Islam seluruh dunia ‘terbakar’ hati dan perasaan mereka kerana tindakan Rohan, 38 tahun lalu.

Begitulah nasib tanah suci umat Islam yang ketiga setelah dihuni oleh rejim Zionis.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

102-mosque-Masjid%20al-Aqsa%204-181648

http://maghfirah.wordpress.com/2008/08/22/memperingati-masjid-al-aqsa-dibakar/

http://sha83kaizer.blogspot.com/2008/08/memperingati-masjid-al-aqsa-dibakar.html