slwt-tibb

MUKADDIMAH

Timbul perselisihan pendapat berkenaan dengan hukum mengeluarkan darah dari tubuh orang yang berpuasa. Polemik ini timbul kerana ada hadis yang meunjukkan batalnya orang yang berbekam dan ada hadis yang menunjukkan sebaliknya. Hukum yang disebut dalam hadis adalah berbekam. Ia boleh disamakan dengan mana2 keadaan mengeluarkan darah seperti orang yang menderma darah mereka. Oleh itu para ulama membahaskan tentang hukum berbekam.

KHILAF PARA ULAMA

Ulama berselisih berkenaan dengan hukum berbekam. Mereka terbahagi dua pendapat:-

Pendapat pertama: Berbekam membatalkan puasa.
Ini pendapat mazhab Hambali, Ishak, Ibnu Munzir, kebanyakan Fuqaha hadis dan Ibnu Taymiyah.

Dalilnya:

Nabi saw bersabda:

أفطر الحاجم والمحجوم

“orang yang membekam orang dan orang yang berbekam batal puasanya.” (Hr Tirmizi – sahih)

Pendapat kedua: Berbekam tidak membatalkan puasa.
Ini pendapat Kebanyakan ulama dahulu dan kini, termasuklah mazhab Syafie.

Dalilnya:

احتجم رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو صائم

” Rasulullah saw berbekam dalam keadaan berpuasa.” (Hr Bukhari, Abu Daud dan lain2 – sahih)

Ulama pendapat kedua mengatakan hadis ini memansuhkan hadis yang mengatakan orang yang berbekam terbatal puasanya. Ini kerana berdasarkan hadis berikut:

1. Hadis riwayat Abi Said al-Khudri:

رخص رسول الله صلى الله عليه وسلم للصائم في الحجامة

“Rasulullah saw mengizinkan kepada orang berpuasa untuk berbekam.” (DaruQutni – beliau berkata sanad hadis ini tidak ada illat)

Ibnu Hazm berkata:

Perkataan “tarkhis” (رخص) menunjukkan hanya berlaku selepas tegahan. Oleh itu hadis ini memansuhkan hadis yang membatalkan puasa orang yang berbekam.

2. Hadis riwayat Anas bin Malik ra, beliau menceritakan:

“Mula2 kami dilarang berbekam ketika puasa ialah ketika baginda saw lalu berhampiran Ja’far bin Abu Talib yang sedang berbekam. Nabi saw bersabda “Kedua orang ini batal puasanya.” Kemudian Nabi saw telah membenarkan berbekam kepada orang yang berpuasa.” (Hr DaruQutni – beliau berkata sanad hadis ini tidak ada illat)

KESIMPULAN: PENDAPAT KEDUA LEBIH KUAT.

Oleh itu berbekam (cupping), menderma darah (blood tranfusion) dan perkara yang melibatkan mengeluarkan darah yang lain adalah tidak membatalkan puasa.

Rujukan: Muftiratus Siam al-Muasirah oleh Dr Ahmad Muhammad khalil.

copy min http://akhisalman.blogspot.com/2009/08/hukum-mengeluarkan-darah-ketika.html