muslimah pray

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Wajibkah Bersembahyang Zuhur Setelah Menunaikan Jum‘at?

Apabila seorang perempuan bersembahyang Jum‘at, sah sembayangnya itu dan memadai sebagai ganti kepada sembahyang zuhur. Perkara ini disebutkan oleh kebanyakkan ulama Syafi‘eyah seperti Imam an-Nawawi, Ibnu Hajar al-Haitami, Abu Ishaq as-Syirazi, Syeikh al-Qalyubi dan Syeikh ‘Umairah Rahimahumullah ajma‘in dan lain-lain.

 Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam al-Minhaj:

 Maksudnya: “orang yang sah menunaikan sembahyang zuhur maka sah  sembahyang Jum‘atnya” (Minhaj at-Thalibin: 1/264)

 

Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah menjelaskan perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah iaitu “orang yang sah menunaikan sembahyang zuhur” bermaksud orang yang tidak wajib ke atasnya sembahyang Jum‘at seperti perempuan, maka sah Jum‘atnya jika ia menunaikan sembahyang Jum‘at itu. (Tuhfah al-Muhtaj: 1/330)

 Menurut Syeikh ar-Ramli Rahimahullah yang mashur dengan gelaran as-Syafi‘e as-Syaghir (Syafi‘e Kecil) yang meninggal pada tahun 1004 Hijrah ketika mengulas perkataan Imam an-Nawawi Rahimahullah di atas iaitu perkataan “sah sembahyang Jum‘atnya” bermaksud memadailah sembahyang Jum‘at itu (sebagai ganti sembahyang zuhur). (Nihayah al-Muhtaj: 2/288)

 As-Syeikh Abu Ishaq as-Syirazi Rahimahullah mengatakan

Maksudnya: “Dan orang yang tidak wajib Jum‘at atasnya mempunyai pilihan antara melakukan sembahyang zuhur dan sembahyang Jum‘at. Maka jika ia telah melakukan sembahyang Jum‘at memadailah apa yang ia lakukannya (sembahyang Jum‘at) itu daripada sembahyang Zuhur”. (Al-Muhazzab: 1/360)

 Imam an-Nawawi Rahimahullah pula menjelaskan perkataan as-Syeikh Abu Ishaq as-Syirazi Rahimahullah di atas bahawa orang-orang yang diberi kelonggaran (ma‘dzur) seperti hamba, perempuan, orang yang musafir dan seumpamanya adalah wajib ke atas mereka menunaikan sembahyang zuhur. Jika ditunaikan sembahyang zuhur tersebut adalah dihukumkan sah. Manakala jika ditinggalkan sembahyang zuhur itu dan mereka menunaikan sembahyang Jum‘at memadailah bagi mereka menurut ijma‘ ulama. (al-Majmu‘: 4/415)

 Menurut Syeikh Qalyubi Rahimahullah pula, orang yang tidak wajib ke atasnya sembahyang Jum‘at ialah kanak-kanak, hamba, perempuan dan orang yang musafir. Adalah sah sembahyang Jum‘at itu jika dilakukannya dan memadailah sembahyang Jum‘at itu sebagai ganti sembahyang zuhur. (Hasyiatan: Qalyubi wa ‘Umairah: 1/310-311)

 Mufti Hadralmaut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin berkata: “Harus bagi sesiapa yang tidak wajib mengerjakan Jum‘at seperti hamba, orang yang musafir dan perempuan sembahyang fardhu Jum‘at ganti sembahyang fardhu zuhur dan Jum‘at itu memadailah sebagai ganti fardhu zuhur … Begitulah sebagaimana fatwa daripada Ibnu Hajar….” (Bughyah al-Mustarsyidin: 78-79)

 Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Awang Haji  Ismail bin Umar Abd Aziz ketika menjadi Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam telah menfatwakan mengenai kedudukan perempuan yang telah menunaikan sembahyang Jum‘at, adakah perlu lagi bersembahyang zuhur? Beliau menjawab: “Boleh dan harus bagi perempuan sembahyang Jum‘at di masjid dan sah Jum‘at perempuan itu dan memadailah Jum‘atnya jadi ganti sembahyang zuhurnya yakni tiada wajib dan tiada sah bagi perempuan sembahyang zuhur setelah ia sembahyang Jum‘at itu….. bagaimana yang disebutkan oleh Mufti Hadralmaut di dalam kitabnya Bughyah al-Mustarsyidin” (Fatwa Mufti Kerajaan: 20/78)

 Jawatankuasa Tetap Penyelidikan Ilmiyah dan Fatwa yang berpusat di Riyadh yang diketuai oleh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz memfatwakan kedudukan seorang perempuan yang mendirikan sembahyang Jum‘at, adakah gugur tuntutan sembahyang zuhur ke atasnya? Jawatankuasa itu menjawab: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang Jum‘at dengan berjemaah Jum‘at, memadailah Jum‘at itu daripada sembahyang zuhur dan tidak harus baginya bersembahyang zuhur lagi pada hari itu…” (Soalan Empat daripada Fatwa No: 5553-Fatawa al-Lujnah ad-Daimah li al-Buhus al-Ilmiyah wa al-fatwa: Jld 7/337)

 Berdasarkan perkataan ulama-ulama as-Syafi‘eyah dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan di atas, maka bagi perempuan yang menunaikan sembahyang Jum‘at itu tidak wajib ke atasnya menunaikan sembahyang zuhur. Kerana gugurnya  tuntutan Jum‘at ke atas mereka itu adalah sebagai takhfif (keringanan). Memadailah sembahyang Jum‘at itu sebagai ganti daripada sembahyang zuhur. Bahkan tidak sah mengerjakan sembahyang zuhur setelah dia menunaikan sembahyang Jum‘at

 

Adakah Dituntut  Perempuan Bersembahyang Jum‘at?

 Sembahyang Jum‘at tidak wajib ke atas perempuan berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walau bagaimanapun perempuan tidak dilarang untuk menunaikan sembahyang tersebut. Menurut kebanyakan ulama, apabila seorang perempuan menunaikan sembahyang Jum‘at maka ia tidak wajib melakukan sembahyang zuhur pada hari tersebut. Persoalannya adakah afdhal dan dituntut seorang perempuan itu keluar ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jum‘at atau ia duduk di rumah mengerjakan sembahyang zuhur?

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah (Tuhfah al-Muhtaj: 1/275) bahawa perempuan lebih afdhal berjemaah di rumah sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhu katanya: Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Janganlah kamu tegah perempuan-perempuan kamu pergi ke masjid sedangkan di rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka”

(Hadis riwayat Abu Daud)

 

Dalam perkara perempuan keluar ke masjid menunaikan sembahyang Jum‘at menurut kitab al-Majmu‘, perempuan-perempuan sama ada muda atau tua yang boleh merangsang nafsu adalah makruh pergi ke masjid kecuali sebaliknya. (al-Majmu‘: 4/415)  Dengan perkataan yang lain menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah adalah makruh bagi perempuan berjema‘ah ke masjid jika perempuan itu boleh merangsang nafsu sekalipun dengan hanya mamakai pakaian harian (pakaian yang tidak cantik) atau perempuan itu tidak merangsang nafsu tetapi dia berhias-hias atau berharum-harum. Lebih-lebih lagi haram hukumnya jika ditakuti akan berlaku fitnah  ke atasnya. (Tuhfah al-Muhtaj: 1/275)

Manakala menurut al-Bandaniji pula adalah dituntut (mustahab) bagi perempuan tua pergi ke masjid menunaikan sembahyang Jum‘at sebagaimana katanya: 

Maksudnya: “Adalah disunatkan (mustahab) bagi perempaun  tua hadir menunaikan sembahyang Jum‘at (ke masjid) dan makruh bagi perempuan muda hadir pada semua sembahyang yang berhimpun (bercampur) dengan lelaki kecuali pada sembahyang hari raya” (Al-Majmu‘: 4/405) 

 

Penutup

Perempuan adalah termasuk di dalam orang-orang yang diberikan takhfif (keringanan) untuk tidak menunaikan sembahyang Jum‘at berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan penjelasan para ulama mengenainya. Walau bagaimanapun, perempuan tidak dihalang untuk menunaikannya dan bagi perempuan yang menunaikan sembahyang Jum‘at maka tidaklah wajib atasnya menunaikan sembahyang fardhu zuhur pada hari tersebut dan memadailah sembahyang Jum‘at itu sebagai ganti sembahyang zuhur.

  http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2004/ic28_2004.htm

 * syukran ats kiriman sms dari adik due. bertanyakan tntg ni.. wa jazakillah ila ija fwd sgt pntas link fatwa min brunei ni.. masyaAllah walhamdulillah😉