||`ViTamin HaTi`||

Kakiku menapak perlahan

Berjalan sambil mentafsir menaakul intipati kalbu

Melingkar  cebisan bab dikotak mindaku

Perihal keluarga, pembangunan kerjaya,

Kronologi  sikap manusia, Isu semasa yang kritikal,

Percaturan  masa depanku

Berkepul-kepul berlegar bak awan di kayangan..

 

Makin hari spirulina momentumku berkurangan

Tampaknya antibiotik  tazkirah semakin sedikit

Ubat tahan sakit, pil sabar

Pil tenang juga makin kosong dalam balang itu..

 

Aduhai, kumenepuk dahi

Apa yang harus kulakukan?

Sakit urat MALAS mula menular

Dititipkan dengan lenguh-lenguh sendi  BOSAN tertempel melata

Jerawat ujub, kadangkala tertimbul dek ego yang tidak dikekang

Kudis-kudis riya’ , panau al bara’ terpencar di raut wajahku..

 

Ya Allah, adakah sakitku akan berpanjangan?

Adakah kanser penyakit HATI ini akan melarat?

Buah pinggang wasatiahku nampaknya mula mengecut

Hempedu kadangkala terasa sakit dicucuk peniti  al Furqan

Jantungku mula terasa lompong dek takungan mazmudah

 

Ya Rahman, ya Rahim

Lembutkan lidahku dengan menggulum namaMu

Ringankan jemariku dengan dzikir memujiMu

Teguhkan hafalanku dengan menyemat firmanMu

Segarkan  taman hatiku dengan sirah junjunganMu

Pasakkan istiqomah dengan lilitan syahadahMu

Sulamkan tawaduk membaluti jubah tudungku ya Allah..

 

Ya Qahhar ya Jabbar

Kalungkan tag fisabillah di lilitan leherku

Sematkan tag jundullah di kiri jaketku

Pinkan tag kunu ansarullah di kanan jaket hitamku

Ya Allah, Kau mengetahui bahawa hati-hati ni berkumpul mengasihiMu

Bertemu untuk mematuhi perintahMu

Bersatu memikul beban dakwahMU

Ya Rabb, hati-hati ini telah berjanji setia

Mendaulat menjulang syiarMu

Maka, dengan itu ya Allah

KAU erat kukuhkan ikatannya

Suluhkan NUR pada lorong gempita itu

KAU penuhkan piala hati ini dengan simbahan IMan

KAU suburkan kebun ladang hati ini dengan makrifat

nikmatMU ya Allah

 

ya Allah, tetapkan nikmat IMan dan nikmat ISLAM dalam jiwaku,

moga diriku tegar bersama panjiMu,

dulu, kini dan selamanya

bersandarkan al Quran wa as sunnah.. insyaallah

ameeen…

ilham cipta ‘simple-shida’

created on : .27.Julai.2010 @KUIS. edited 2.Ogos.2010 @ baiti, BSP.