dtrbyh

AKHLAK DAN ADAB BERJEMAAH

Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat

 

MUQADDIMAH

 

Adapun parti kita (Parti Islam Se-Malaysia) berada di atas prinsip yang benar iaitu menegakkan Islam secara menyeluruh. Ia bermula daripada ikrar syahadah dan menunaikan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumahtangga, bermasyarakat sehinggalah perkara yang tidak dilakukan oleh jamaah-jamaah lain secara tegas, iaitu menegakkan negara Islam. Maka dengan itu, ia telah membezakan kita dengan parti-parti, jamaah-jamaah dan kumpulan-kumpulan lain termasuklah yang bernama Islam.

 

Prinsip ini menyebabkan kita menghadapi cabaran lebih banyak dan hebat, namun kita terus maju dan berkembang. Walaupun demikian, kita perlu memenuhi tuntutan-tuntutan yang berkait dengan setiap ahli di semua peringkat demi mencapai kemenangan yang dijanji kurnia oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

 

“Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa dia akan menjadikan mereka itu khalifah (orang yang memerintah dengan Islam) di atas bumi sebagaimana dia pernah mengurniakan khilafah kepada orang -orang yang terdahulu daripada mereka. Dia akan menjadikan agama mereka (Islam) yang Dia redha memerintah untuk mereka dan Dia akan menukarkan kepada mereka suatu keadaan selepas berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka itu menyembahKu, tidak menyekutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang menjadi kufur selepas itu

maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al-Nur: 55)

 

Perlu difahami juga bahawa tidak memadai sekadar hanya berdiri di atas dasar yng benar tanpa membina peribadi dengan akhlak-akhlak berparti atau berjamaah. Oleh itu, maka saya kemukakan beberapa perkara yang menjadi sifat-sifat yang mesti dipunyai oleh pejuang-pejuang Islam untuk menjadi perbincangan dan muhasabah kepada diri kita sendiri.

 

AKHLAK BERPARTI

 

Dalam meniti liku-liku perjuangan Islam, ianya penuh dengan ujian, mehnah dan tribulasi yang begitu mendesak. Justeru, pada diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan Islam dan diwarnai dengan akhlak berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah s.w.t. Ini amat penting agar pertolongan Allah sentiasa bersama para pejuang. Bagi meletakkan perjuangan kita diterima dan direstui oleh Allah s.w.t. serta mendapat pertolongan daripadaNya, maka kita mestilah melengkapkan diri dengan sifat-sifat berikut:

 

1. Ikhlas

 

Mestilah ikhlas yakni mampunyai niat yang benar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamaNya sehingga didaulatkan di dalam negara yang melaksanakan hukum syariat. Maksudnya: “Abu Musa al-‘Asy’ari r.a. telah menceritakan kepada kami, katanya : seorang arab Badwi datang menemui Rasulullah s.a.w. lalu dia bertanya : “Orang yang berperang kerana mahukan ghanimah (harta rampasan), orang yang berperang supaya disebut (menjadi masyhur), berperang kerana riak (menunjuk-nunjuk kepada orang), maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang berperang supaya kalimah Allah (agama Islam) itu menjadi paling tinggi maka dialah yang berperang pada jalan Allah.” (Muttafaq’Alaih)

 

Yang dimaksudkan dengannya perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan sama ada melalui cara pilihannya sehinggalah berperang di negeri yang tidak ada cara yang lain daripadanya mestilah dengan niat yang ikhlas. Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Dan tidaklah diperintah kepada mereka melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus.”  (Al-Baiyinah: 5)

 

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadith. Maksudnya:

 

“Diriwayatkan daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung keapda niat. Sesungguhnya setiap orang itu akan mendapat sesuatu mengikut niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kerana Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia dia akan mendapatkannya atau kerana seseorang perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya itu mengikut apa yang diniatkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti ‘ujub dan sum’ah. Allah s.w.t. telah mengajar generasi awal di kalangan umat Islam dalam beberapa peristiwa di zaman Rasulullah. Di antara peristiwa-peristiwa itu ialah peristiwa uhud dan Hunain yang mejadi iktibar sepanjang zaman.

 

Dalam kes ini di Uhud, Allah s.w.t. telah berfirman, maksudnya:

 

“Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai kepada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusanitu dan menderhakai perintah rasul sesudah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai, di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu dan Allah mempunyai kurnia atas orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran: 152)

 

Allah s.w.t. juga telah berfirman berkenaan dengan peristiwa Hunain, maksudnya:

 

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu di medan peperangan yang banyak dan pada hari berlaku peperangan Hunain ketika kamu megah dengan diri sendiri kerana ramainya jumlah kamu, mak jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepada kamu sedikitpun dan bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu lari ke belakang bercerai-berai, kemudian Allah menurunkan kemenangan kepada rasulNya dan orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dn Allah mengazabkan orang-orang kafir dandemikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir, kemudian Allah menerima taubat dari orang-orang yang dikehendakiNya. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al -Taubah: 25 – 27)

 

2. Percaya dengan baik kepada Allah (husnu al-thiqah billah), memohon pertolonganNya dan percaya kepada janjiNya.

 

Seseorang yang menceburkan dirinya dalam perjuangan Islam mestilah percaya kepada jaminan Allah dan janjiNya di dunia dan akhirat.

 

Perkara ini hendaklah dinyatakan dengan mengadakan hubungan yang baik dengan Allah dengan sifat taqwa, mengerjakan perintah dan meninggalkan laranganNya, sehingga ia tidak boleh dijelaskan oleh amaran, sogokan dan bagaimana sekalipun keadaan dan sifat-sifat musuh-musuh Islam itu dan sehingga tidak ada di dalam diri perasaan tidak ada harapan untuk mencapai kemenangan bagi menegakkan cita-cita Islam dan juga perasaan tidak yakin dengan janji Allah s.w.t. di akhirat. Orang-orang yang berjuang bersama Rasulullah s.a.w. yang melakukan hijrah dan orang Ansar yang menerima dan memberi tempat kepada Islam di tanah air mereka yakin kepada janji Allah di dunia dan akhirat, walaupun tidak ada suatu wawasan yang dapat dilihat dengan mata kasar dan situasi yang terang-terang menandakan kemenangan Islam,mereka percaya kepada firman Allah,maksudnya:

 

“Dan sesungguhnya Allah mesti menolong orang yang menolong agamaNya, dan Allah itu Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami bolehkan kepada mereka memerintah di bumi mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran da bagi Allah akibat segala urusan.” (Al-Hajj: 41)

 

Rasulullah tidak menerima Bani Amir kerana mereka meminta jawatan sebelum mencapai kemenangan dan tidak menerima Bani Syaiban kerana mereka takut menghadapi Parsi yang menjadi kuasa besar dunia dn tidak yakin bahawa Islam dapat menumbangkan Parsi dan Rom. Tetapi sebaliknya berbai’ah dengan aus dan Khazraj yang percaya kepada Allah dan janjiNya di dunia bahawa Islam akan menang dan jnji kebahagiaan di akhirat. Lalu mereka menunaikan perintah Allah dengan patuh dan menhadapi penghalangnya yang datang dari segenap penjuru dan sentiasa menunggu wahyu dan sabda untuk dilaksanakan dan diperjuangkan.

 

3. Istiqamah

 

Mestilah berterusan di atas prinsip perjuangan dan beramal dengan segala tuntutannya dengan tidak berpaling dan cenderung ke arah yang lain dan hanyut bersama arus jauh sekali daripada melompat dan menyeleweng daripada perjuangan. Allah berfirman kepada Musa a.s. dan Harun a.s. yang menghadapi Firaun dalam menegakkan Islam di zamannya maksudnya: “Allah berfirman: Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orangyang tidak mengetahui (peraturan janjiKu).” (Yunus: 89)

 

Firman Allah s.w.t. kepada nabi kita Muhammad s.a.w., maksudnya:

 

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 112 – 113)

 

Dalam peristiwa yang lain pula dinyatakan, apabila sufyan bin Abdullah berkata kepada Rasulullah s.a.w., maksudnya: Daripada Sufyan bin ‘Abdullah al-Thaqafi katanya: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan kata-kata yang jelas sehingga aku tidak perlu lagi beranyakan mengenainya kepada seseorang yang lain daripadamu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Katakanlah, Aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah beristiqamah.” (Riwayat Ahmad)

 

Para rasul dan para sahabat adalah orang-orang yang paling istiqamah, tetapi mereka diperintah juga supaya beristiqamah. Ini menunjukkan bahawa sifat istiqamah itu sangat penting dan mestilah berterusan kerana ia menjadi tunggak dan cara untuk mendapatkan pertolongan Allah s.w.t., bahkan orang yang tidak istiqamah amalannya menjadi sia-sia.

 

4. Taat

 

Ketaatan itu lahir daripada sikap percaya-mempercayai di antara pemimpin dan pengikut. Apabila kepimpinan mempunyai keikhlasan dan menyatakan pengorbanan yang sebenar dan perhatian kepada perjuangan dan pengikut-pengikutnya. Ketaatan itu mestilah dalam semua keadaan, di masa senang dan susah, di masa kelapangan dan kesempitan dalam perkara yang tidak maksiat.

 

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” ( orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

(Al-Nisa’: 59)

 

Rasulullah s.a.w. telah meneguhkan sifat ketaatan kepada para sahabatnya dengan melakukan bai’ah di antaranya ialah Bai’ ah al-‘Aqabah yang terkenal sebelum melakukan hijrah yang merupakan perintah yang sangat penting yang membawa kepada tertegaknya sebuah negara Islam. Di dalam bai’ah itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

 

“Berbai’ahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di masa cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang,menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah s.w.t. tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbai’ah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, ister-isteri kamu dan anak-anak kamu dan untuk syurga.” (Riwayat Ahmad)

 

Ketaatan itu membawa kepada menunaikan tugas mengikut arahan kepimpinan dan tidak bertindak sendiri tanpa pengetahuan kepimpinan sehingga menjadi kelam kabut yang boleh menimbulkan adanya kumpulan dalam parti yang mempunyai perancangan yang berbeza dan strategi yang berlainan yang boleh membawa perpecahan dan wujudnya kumpulan atau jamaah dalam parti.

 

Ketaatan membawa penyelarasan yang baik di kalangan seluruh anggota dan sayap parti dan melaksanakan amal jama’ie yang tidak boleh dijejaskan oleh pandangan individu yang berbeza lalu mengikut selera masing-masing sehingga jentera parti menjadi celaru dan tidak selaras di antara satu sama lain. Ketaatan juga dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbaga-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang terlalu lambat dan ada yang sederhana.

 

5.Ukhuwwah (persaudaraan Islam)

 

Ahli-ahli parti dan penyokongnya di semua peringkat laksana batu-bata yang berselerak dan perlu diikat dengan teguh dan kuat dengan hubungan yang erat di antara satu sama lain. Bagi menunjukkan betapa perlunya persaudaraan ini, maka Rasulullah s.a.w. menjadikan di antara perkara pertama ketika hijrah ialah mempersaudarakan di kalangan Muhajirin dan Ansar. Melalui hubungan persaudaraan ini, maka keteguhan saf di dalam perjuangan Islam itu dapat diwujudkan.

 

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

(Al-Saff: 4)

 

Sebarang kekosongan yang memutuskan saf nescaya dicelah oleh syaitan yang dapat menjejaskan jentera parti dan perjalanannya. Kegiatan usrah adalah sebahagian daripada langkah mengeratkan persaudaraan, kerana perkataan usrah yang bermakna keluarga itu adalah lebih bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan menyelesaikan masalah secara kekeluarga, adapun penekanan ilmu lebih ditumpukan dalam majlisnya sendiri iaitu majlis-majlis ilmu yang dianjurkan oleh parti, begitu juga dengan kerja-kerja kebajikan di kalangan ahli-ahli parti yang mewujudkan berlakunya tolong menolong di antara satu sama lain.

 

Demikian juga sebarang perhimpunan dianjurkan oleh parti dengan meyusun petugas-petugasnya dapat menjalinkan tolong- menolong yang mengeratkan persaudaraan.

 

6. Kerahsiaan

 

Perjuangan Islam ini dikepung oleh musuh-musuh yang ramai dari segenap penjuru, mereka sentiasa mengintip segala kegiatan parti untuk menentangnya, oleh itu kita tidak boleh boros dengan kenyataan yang mendedahkan kerahsiaan, membongkar perkara-perkara dalaman yang tidak patut dibuka kepada umum sehingga mendedahkan kelemahan kepada musuh dan memberi kemudahan kepada mereka untuk memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perjalanannya.

 

Sirah Rasulullah s.a.w. banyak mengajar kita di dalam perkara ini secara praktikal, di mana kemenangan banyak dicapai dengan cara-cara yang mengejutkan musuh dan mereka tidak ada ruang untuk mengambil kesempatan dari beberapa kelemahan yang ada. Parti bukan sahaja perlu menyusun strategi yang baik dan rapi tetapi juga perkara-perkara yang menjadi suatu kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan , adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh kepimpinan termasuklah perkara yang perlu dirahsiakan. Adalah tidak bijaksana sekiranya untuk mengumumkan semua perkara dan ahli-ahli menekan dalam perkara ini sehingga menjejaskan ketaatan dalam melaksanakan tugas parti. Sebaliknya sebarang rahsia musuh yang dapat dikesan sama ada kecil ataupun besar hendaklah dilaporkan kepada parti.

 

7. Tidak leka dengan pencapaian yang ada

 

Seringkali berlaku apabila terdapat sedikit kemajuan atau kemenangan menyebabkan berlakunya kelekaan dalam menjalankan tugas dan memberi sumbangan kepada parti. Allah s.w.t. telah menegur para sahabat r.a. apabila mereka memandang ringan kepada kewajipan jihad setelah mencapai beberapa kemenangan.

 

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

 

Seringkali berlaku di negeri atau kawasan yang mencapai kejayaan berlakunya kecuaian walaupun untuk mempertahankan kemenangan itu, sehingga tugas-tugas parti menjadi perkara-perkara sampingan.

 

 

8.Menunaikan janji dan beriltizam dengannya

 

Allah s.w.t. telah memberi penegasan dalam perkara ini dengan firmanNya yang bermaksud:

 

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak ( mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Nahl: 91)

 

Samada perjanjian dengan jamaah atau perjanjian sesama sendiri dan termasuklah juga perjanjian dengan musuh-musuh hendaklah ditunaikan dan disempurnakan dengan baik. Sebarang kemungkinan boleh menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain dan menghilangkan kewibawaan.

 

9.Tidak melampau

 

Allah s.w.t. melarang sikap dan tindakan yang melampau walaupun terhadap musuh di medan perang, maka terlebih utama terhadap sesama sendiri dan ketika muwajahah salasiyah.

 

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

 

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh. (Al-Baqarah: 190)

 

 

PENUTUP

 

Demikianlah sebahagian daripada perkara yang perlu diberi perhatian dan dibincangkan di samping bermuhasabah kepada diri sendiri dan parti supaya perjuangan kita diterima, diredhai Allah dan dikurniakan kemenangan dunia dan akhirat.