Wahai anakku
Janganlah engkau sedih atas kematian, kerana kita tidak akan mampu mengembalikan kehidupan jasad. hebatnya sesaorang tokoh itu bilamana ilmu dan petunjuknya tetap hidup walau jasadnya telah musnah.

Kematian itu wahai anakku hanyalah perpisahan antara roh dan jasad, kerana alam barzakh memerlukan pemindahan ini untuk memasukinya. Lalu ia adalah kegembiraan bagi orang yang beriman dan kesedihan dan petaka bagi orang yang kufur.

Wahai anakku
Bilamana kamu lahir hanya kamu yang menangis sedang yang lain semua gembira, namun bilamana seorang mukmin itu mati, ia akan gembira dan yang tinggal pula akan menangis.

Kita tidak menangisi kematian tetapi kita tangiskan kehilangan sementara. Kerana orang mukmin akan pasti bertemu nanti di alam barzakh dan alam akhirat.

Wahai anakku
Andainya engkau merindui dan menyanyanginya, peliharalah amalanmu, nanti engkau akan dapat bersama dengannya di alam akhirat.

Sebagaimana kita merindui Rasulullah SAW, kerana kita tidak sempat bertemu dengannya di alam ini, InsyaAllah akan bersamanya di alam barzakh dan dalam Syurga, andainya kita dirahmati Allah dengan ketaatan kepadaNya.

Wahai anakku
Perjuangan ini mesti disambung dan diteruskan. Kitalah penyambung warisan ini. Bangunlah dari kesedihan dan ratapan ini. Kerana esok mungkin giliran kita pula menemui Ilahi.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Pulau Melaka
Jumaat 13 Feb 15