Kekeliruan Maqasid Syariah; Dapatkan kenyang dahulu, baru cerita tentang makan?

Oleh: Imran al-Malizi

Dalam satu dewan kuliah Usul al-Fiqh, seorang Professor bertanya pelajar-pelajarnya di peringkat sarjana, “Sekiranya Maqasid Syariah bercanggah dengan nas-nas Al-Quran dan Hadith, yang manakah patut didahulukan?”

Soalan ini agak ganjil, ada beberapa pelajar yang cuba menjawabnya walaupun dengan nada kurang pasti, “Maqasid perlu diutamakan.” Sebahagian lagi menjawab, “Nas-nas syarak perlu dipertahankan.”

Saya dan sebahagian besar hanya berdiam diri kerana yakin kedua-dua itu bukanlah jawapannya. Tiba-tiba Prof.Dr.Alauddin Rahhal yang berkelulusan PhD dari UIAM (Malaysia) menyergah kami: “Tidak mungkin sekali-kali Maqasid Syariah bercanggah dengan hukum-hakam syariah!”

Bayangkan, pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang ilmu-ilmu Islam dari Jordan, Kuwait, Yaman, Oman, Turki, Arab Saudi, Pakistan dan lain-lain yang merupakan guru, pensyarah, imam, pendakwah, pengarang dan sebagainya, mereka juga pun boleh terkeliru dengan persoalan ini.

Oleh itu, saya tidak hairan jika orang awam, ahli politik, peguam, artis, ‘ustaz dan ustazah jadian’ dan lain-lain lagi yang tidak pernah mendalami disiplin ilmu-ilmu syariah boleh ‘terlajak ke dalam gaung’.

Apakah itu Maqasid Syariah?

Dalam Bahasa Arab, ‘maqasid’ (kata jamak/plural) atau ‘maqsad’ (kata tunggal/singular) bermaksud: tujuan, matlamat atau objektif.

Apabila disandarkan kepada Syariah ianya memberi maksud; Matlamat Pelaksanaan Hukum-hukum Syariah Islam itu sendiri.
Tujuan mempelajari ilmu ini adalah untuk lebih meyakinkan kita bahawa di sebalik setiap perintah dan larangan Allah dalam syariat Islam itu mengandungi hikmah, natijah dan matlamatnya yang tersendiri.

Matlamat ini hanya akan tercapai apabila kita melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Jika kita tidak mengetahui maqasid tersebut sekali pun, kita tetap perlu menunaikan solat, zakat, puasa, haji dan segala perintah dan tegahan syarak yang lain.

Jauh sekali bermaksud, jika sudah mengetahui maqasid atau objektifnya, maka tidak perlu lagi beribadat atau mengikut syariat.
Saya tidak mahu memetik perbahasan panjang lebar tentang Maqasid Syariah oleh Al-Imam Abu Ishak al-Syatibi (790H) yang terkenal dengan karya agungnya Al-Muwafaqat fi Usul al-Syari’ah. Itu mungkin di lain kali.

Bagi tujuan memahami definisi “Maqasid Syariah” pada peringkat permulaan, memadai kita merujuk kepada Prof. Dr.Ahmad al-Raisuni (Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia) yang dianggap tokoh yang dirujuk mutakhir ini dalam bidang ilmu ini. Menurut beliau Maqasid Syariah ialah:

هي المعاني والغايات والآثار والنتائج، التي يتعلق بها الخطاب الشرعي والتكليف الشرعي، ويريد من المكلفين السعي والوصول إليها

“Tujuan-tujuan, matlamat-matlamat, kesan-kesan dan natijah-natijah yang bersangkutan dengannya perintah dan tuntutan syarak yang menghendaki orang-orang yang mukallaf agar menjalankan (syariat) dan berusaha untuk mencapainya.”

[Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, Dar al-Kalimah, cet.ketiga 2014, hal.9]

Ini bermakna “maqasid” atau objektif itu adalah berkait rapat dengan pelaksanaan syariah itu sendiri. Bukan bermakna meninggalkan syariat untuk mencapai objektif atau natijahnya.

Analogi mudahnya, seumpama kita makan adalah bertujuan untuk kenyang dan natijah kita meminum air adalah agar hilang dahaga. Tentu janggal sekiranya seseorang berkata, “Kita hanya perlukan kenyang dan hilang dahaga, namun kita tak perlu makan dan minum.”

Akidah dan Syariah

Membicarakan ilmu Maqasid Syariah memerlukan seseorang itu beriman dengan keseluruhan ajaran Islam.

Seorang lagi tokoh iaitu Dr. Ali Ahmad al-Qulaishi menyebut berkenaan kaitan antara akidah dan syariah:

أن الشريعة تشمل كل ما أنزل الله من الأحكام عقائدية ، أم عملية ، أم أخلاقية ، وأن جملة الأحكام المنزلة من عند الله تعتبر شريعة، وأن العقيدة لا تنفرد عن الشريعة ، وأن العقيدة أصل يدفع إلى الشريعة ، والشريعة تكون عبارة عن تلبية الجوارح للعمل بالعقيدة ، فمن آمن بالعقيدة وألغى الشريعة ، أو أخذ بالشريعة وأهدر العقيدة ؛ فلا يكون مسلما لله تعالى ولا آخذا بسبيل النجاة.

“Sesungguhnya syariah itu merangkumi segala apa yang diturunkan oleh Allah berupa hukum-hakam yang berkaitan dengan akidah, amalan dan akhlak. Bahawa seluruh hukum-hakam yang diturunkan dari sisi Allah adalah dianggap sebagai syariah. Bahawa perkara akidah itu tidak terasing daripada syariah. Akidah adalah asas yang mendorong kepada pelaksanaan syariah. Syariah adalah ibarat tindak balas daripada anggota tubuh untuk beramal dengan tuntutan akidah. Sesiapa yang beriman dengan akidah namun menghapuskan syariah atau menerima syariah namun mensia-siakan akidah; maka dia bukanlah seorang muslim yang berserah diri kepada Allah Ta’ala dan dia tidak mengambil jalan yang membawa kepada keselamatan (dari api neraka).”

[Madkhal ila Maqasid as-Syari’ah, cet.kedua 1416H/1996M, hal.12-13]

Tentulah aneh, jika orang bukan Islam yang tidak percaya kepada Syariat Allah atau orang Islam yang tidak yakin dengan agamanya sendiri mahu memberi tunjuk ajar bahawa kita perlu mengutamakan maqasid dan tidak perlu bertegas dengan undang-undang syariah. Saya kira setakat ini, sudah jelas kaitan maqasid, syariah dan akidah.

Matlamat-matlamat pelaksanaan syariah adalah tertumpu kepada menjaga maslahah (kebaikan dan kepentingan) kehidupan manusia di dunia dan akhirat.

Menurut salah seorang tokoh penting dalam ilmu usul al-Fiqh, Hujjatul-Islam al-Imam al-Ghazali (505H):

ومقصود الشرع من الخلق خمسة : وهو أن يحفظ عليهم دينهم، ونفسهم، وعقلهم، ونسلهم، ومالهم،
فكل ما يتضمن حفظ هذه الأصول الخمسة فهو مصلحة، وكل ما يفوِّت هذه الأصول فهو مفسدة، ودفعها مصلحة.
“Matlamat hukum syarak (Maqasid Syariah) bagi makhluk (manusia) ada lima perkara iaitu supaya terpelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Segala perkara yang merangkumi pemeliharaan kelima-lima prinsip ini adalah maslahah (kebaikan) dan segala perkara yang melenyapkannya adalah mafsadah (kerosakan), mempertahankannya adalah maslahah.”

[Al-Mustashfa min ‘Ilm al-Usul, Al-Muassasah al-Risalah, cet.1 1436H-2015M, Jil.1/hal.417]

Di sinilah punca banyaknya kekeliruan tentang Maqasid Syariah. Kerap kali pemimpin negara, ahli politik dan orang-orang awam yang tidak mendalami perbahasan kelima-lima prinsip ini beranggapan bahawa tidak perlu melaksanakan hukum-hakam syariah, apa yang penting ialah menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Menegakkan ‘Maqasid Syariah’ lebih penting daripada melaksanakan hudud dan undang-undang jenayah Islam.

Sedangkan lima perkara ini adalah kesan, hasil dan natijah daripada pelaksanaan hudud, qisas, diyat dan takzir, bukannya ‘kebaikan’ akibat meninggalkan atau menghapuskannya.

Mereka terkeliru, bahawa apa yang penting ialah semata-mata mengambil maqasid (objectives/purposes) tanpa membawa pelaksanaan syariah. Mereka sebenarnya terkeluar daripada perbahasan ilmu ini.

Aneh! Bagaimana mereka boleh berkata tegakkan “maqasid” tanpa melaksanakan hukuman hudud?

Seorang tokoh ilmu fiqh, maqasid dan ahli tafsir terkenal, Al-Imam Muhammad al-Thahir bin ‘Asyur (1393H) yang lebih dikenali sebagai Ibnu ‘Asyur menyatakan dalam kitabnya Maqasid al-Syariah al-Islamiyah:

لقد بينت في مبحث أن الشريعة ليست بنكاية: أن جميع تصرفاتها تحوم حول إصلاح حال الأمة في سائر أحوالها، وأجملت القول هنالك بأن الزواجر والعقوبات والحدود ما هي إلا إصلاح حال الناس. ويجب أن نبسط القول هنا في مقصد الشريعة من العقوبات من قصاص وحدود وتعزير ؛ وذلك من أكبر مقاصد الشريعة هو حفظ نظام الأمة، وليس يحفظ نظامها إلا بسد ثلمات الهرج والفتن والاعتداء، وأن ذلك لا يكون واقعا موقعه إلا إذا تولته الشرعية ونفذته الحكومة، وإلا لم يزدد الناس بدفع الشر إلا شرا.

“Sesungguhnya aku telah menjelaskan bahawa hukum syariah bukanlah suatu penyeksaan. Sesungguhnya keseluruhan pelaksanaannya berkisar kepada pembaikan hal keadaan umat dalam segala hal ehwalnya. Aku ringkaskan perkara ini bahawa segala tegahan syarak, hukuman dan hudud tidak lain hanyalah bertujuan memperbaiki hal keadaan manusia. Di sini, kita mesti memperluaskan perkara ini dalam matlamat syariah pada hukuman-hukuman qisas, hudud dan takzir. Demikian itu kerana Maqasid Syariah yang paling besar adalah untuk memelihara peraturan masyarakat. Hal ini tidak dapat dipelihara kecuali dengan menutup ruang-ruang berlakunya kekacauan, fitnah dan penindasan. Sesungguhnya itu tidak akan berlaku pada tempatnya melainkan dengan mengambil hukum-hakam syariah dan dilaksanakan oleh pemerintah (kerajaan). Jika tidak, manusia tidak akan dapat menghalang kejahatan malah akan berlaku kejahatan.”

[Dar al-Salam, cet.6, 1435H, hal.232]

Secara jelas lagi nyata, al-Imam Ibnu ‘Asyur mengatakan maqasid tidak boleh tertegak dengan meninggalkan hukum-hukum syariah yang wajib dilaksanakan oleh pemerintah.

Tidak mungkin menegakkan “maqasid” dengan undang-undang ciptaan manusia, kononnya untuk mencapai matlamatnya yang jelas berkaitan keadilan, kesaksamaan dan kebaikan.

Jika demikian, itu bukanlah Maqasid Syariah sebaliknya maqasid wadh’iyyah (objektif undang-undang ciptaan manusia). Syariat Islam tiada kena mengena dengan “keadilan” undang-undang yang dicanangkan itu.

Ibnu ‘Asyur meneruskan hujahnya bahawa maqasid syarak pada hukuman-hukuman jenayah itu telah diisyaratkan oleh Allah dalam ayat-ayat al-Quran berikut:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا

“Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas.” (Al-Isra: 33)

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.” (Al-Maidah: 49)

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” (Al-Maidah: 50)

Maqasid Syariah, Hudud dan RUU 355

Apabila timbul isu hudud dan pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355), kedengaran begitu ramai orang yang bukan ahlinya berbicara tentang Fiqh al-Maqasid atau Maqasid Syariah tanpa mengetahui asas-asasnya dan tanpa memahami prinsip-prinsipnya.

Dalam isu RUU 355 ini, sepatutnya para penentang hudud berasa lega kerana usaha menaik taraf dan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya melibatkan jenayah peribadi atau kesalahan akhlak orang-orang Islam sahaja.

Malah, ianya tidak berkaitan pun dengan kes-kes jenayah mencuri, membunuh, menyamun dan merompak yang tertakluk dalam Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Pindaan RUU 355 (Seksyen 2) tiada kaitan dengan hukuman bunuh, rejam dan potong tangan. Sekiranya berjaya pun melepasi peringkat-peringkat bacaan, perbahasan dan undian oleh ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat, Mahkamah Syariah di negeri-negeri hanya diberikan bidang kuasa menjatuhkan hukuman sebat yang bersesuaian dengan syariat Islam.

Sekurang-kurangnya hakim boleh menjatuhkan hukuman yang menepati nas-nas al-Quran dan Sunnah bagi tiga kesalahan iaitu zina (ghairu muhsan 100 sebatan), qazaf (80 sebatan) dan meminum arak (minimum 40 dan maksimum 80 sebatan) atau dihukum takzir jika tidak memenuhi syarat-syaratnya.

Jika diperhalusi, kes-kes ini adalah berkaitan dengan akhlak orang-orang Islam yang tidak patut dicampuri oleh orang-orang bukan Islam.

Mengenai ke’tidak saksama’an undang-undang dalam masyarakat majmuk, sememangnya telah wujud dua undang-undang dalam negara Malaysia di mana orang-orang bukan Islam tidak pernah ditangkap khalwat atau berzina, ponteng puasa atau tidak solat Jumaat, minum arak atau berjudi.

Orang-orang Islam tertakluk di bawah Undang-undang Keluarga Islam berhubungan kes talak, rujuk dan fasakh atau hak penjagaan anak, nafkah dan pembahagian harta pusaka.
Tidakkah mereka berminat juga untuk masuk campur atau menghapuskan undang-undang sedia ada ini untuk orang-orang Islam? Bagi mewujudkan kesamarataan, mereka boleh mula melaungkannya sekarang.

Agak janggal juga apabila ada yang menyebut pindaan RUU 355 ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan demokrasi.

Sedangkan kelulusan akta yang dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) ini pada tahun 1965 serta pindaan A966 adalah sebahagian dari proses demokrasi dan mengikut peruntukan dalam perlembagaan.

Golongan yang sesat dan menyesatkan

Di saat ilmu agama semakin berkurangan, orang ramai menjadi jahil, maka akan timbullah pemuka-pemuka kesesatan yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

Ini dijelaskan dalam hadith yang diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin al-‘Ash, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ اللهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّـى إِذَا لَمْ يَبْقَ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا.

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus dari para hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama, sehingga ketika tidak tinggal lagi orang berilmu, maka manusia akan menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya, kemudian mereka akan bercakap tanpa ilmu, maka mereka sesat lagi menyesatkan orang lain.”

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilmi, Bab Kaifa Yuqbadhul ‘Ilmi, (no.100) dan Sahih Muslim, Kitab al-Ilmi, Bab Raf’ul ‘Ilmi wa Qabdhahu wa Zhuhuurul Jahli wal Fitan (no.6971) ]

Betapa benarnya sabda Rasulullah S.A.W!

Janganlah berasa pelik jika mereka berkata, “Kita hanya berpegang dengan ‘maqasid’ dan tidak perlu melaksanakan syariat”.

Berkata pula yang lain, “Kita menerima hukum-hukum Islam kerana ini perintah Allah. Namun kita tidak akan melaksanakan syariah kerana kita lebih berpegang kepada ‘maqasid’.”

Mungkin ramai yang masih belum jelas yakin akan kesesatan itu.
Apakah perlu sehingga mereka ini berkata:

“Tanpa solat juga boleh mencegah keji dan mungkar,”?

“Apa yang penting kita mencapai takwa, tak berpuasa Ramadhan pun tak mengapa,”?

“Zakat tidak wajib, yang penting harta kita halal lagi suci,”?

Atau apa sahaja alasan-alasan lain yang bermaksud tegakkan ‘maqasid’, syariah tidak perlu dilaksanakan?

Seumpamanya orang gila yang berkata, “Tak perlu makan, yang penting ialah kenyang” atau orang fasik yang berkata, “Makanlah apa sahaja tak semestinya ikut cara Islam, yang penting kenyang”.

Begitulah perumpamaan bagi orang yang berkata, “Tegakkan ‘Maqasid Syariah’ dahulu, baru cerita tentang hudud.”

Orang seperti ini sebenarnya bukan bercakap tentang Maqasid Syariah dalam kerangka Islam, malah ilmu Maqasid tidak pernah menjadi sebahagian agenda politiknya dan bukan pula undang-undang yang diturunkan oleh Allah Ta’ala menjadi keyakinannya.

Hanyalah topeng bagi meraih laba politik agar tidak dilihat terlalu menentang agama Islam atau memang sebenar-benar jahil yang berlapis-lapis?

Terlalu ramai menampilkan diri sebagai ‘bijak pandai’ dalam hukum-hakam agama.

Ketahuilah! Ubat bagi kebodohan adalah belajar dan dengan belajar dapat mengikis sikap menunjuk pandai.

Irbid, Jordan
Isnin, 27 Syawal 1437H

https://www.facebook.com/Imran-al-Malizi