14045901_1346620648699316_6734146939295403224_n

“Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara Malaysia ke 59”

#kitasemuaNisa‘ Malaysia
#salamkemerdekaan

Selamat Hari Kemerdekaan : Merdekakanlah Jiwa, Minda Dan Jasad!

31 Ogos 1957 bukan semata-mata menjadi tarikh bersejarah yang perlu dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia. Tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap daripada kita bagi mempertahankan keamanan dan kebebasan negara adalah lebih utama. Namun tidak dinafikan, anak bangsa perlu sentiasa diperingatkan tentang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang negara terdahulu.

Untuk mendapatkan kemerdekaan negara bukan mudah, namun mempertahankannya lebih payah kerana kita mungkin diselindungi dengan penjajahan berbentuk budaya dan pemikiran. Peribadi yang merdeka adalah peribadi yang selari dengan matlamat Islam. Islam adalah agama yang mengeluarkan manusia daripada penghambaan kepada manusia ke arah penghambaan dan pengabdian kepadaTuhan semata-mata. Maka untuk terus mempertahankan negara, anak bangsa perlu dibebaskan dari segala jenis bentuk penjajahan.

Memaknai Hari Kemerdekaan Negara kita dengan perkara yang melanggari batasan agama adalah suatu perbuatan terkutuk. Hentikan sambutan berbentuk hiburan berlebihan yang menyumbang kepada pembaziran dan langsung tidak berperanan menyemai rasa cintakan tanah tumpah darah kita ini. Titisan darah dan air mata pejuang terdahulu tidak pantas dibalas dengan sambutan yang melekakan dan menghanyutkan jati diri anak bangsa.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru seluruh warga negara sama ada pemimpin mahupun rakyat untuk sama-sama menjaga kedaulatan negara dan seterusnya membebaskan negara kita daripada bayang-bayang hegemoni asing yang menghalang kebebasan berpolitik dalam negara kita.

DMPM mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Negara yang ke-59 kepada semua rakyat Malaysia. Ayuh bersama mensyukuri nikmat Tuhan yang telah menganugerahkan kita sebuah kemerdekaan.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
27 Zulkaedah 1437H / 30 Ogos 2016

14089239_1122776377801131_8594475536822569754_n