bride

Rumahku Syurgaku

 

Kita biasa mendengar ungkapan “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” yang pastinya menjadi idaman setiap insan. Namun ianya tidak mudah dipraktis melainkan kita mempunyai kesungguhan, kekuatan dan kesabaran yang tinggi bermodalkan kefahaman dan ilmu Islam yang mantap.
Rumahku Syurgaku mempunyai objektif tersendiri. Kejayaan membina Rumahku Syurgaku adalah diukur sejauh mana kita mencapai objektifnya. Objektif ini pula adalah manifestasi daripada tiga (3) matlamat utama pembentukan institusi rumahtangga yang telah digariskan oleh Allah dalam surah al-Ruum ayat 21, iaitu :-
  1. Sakinah / سكينة  (tenang)
  2. Mawaddah / مودّة (cinta)
  3. Rahmah / رحمة (kasih)
Objektif “Rumahku Syurgaku” adalah sebagaimana butiran berikut :-
  1. Mendirikan rumahtangga atas dasar taqwa dan kesinambungan perjuangan serta dakwah Islamiyah. Jangan bina atas kepentingan lain seperti harta, pengaruh, rupa paras, nafsu syahwat dan kedudukan duniawi.
  2. Menghiasi rumahtangga dengan bi’ah (persekitaran) Islamiyah. Jangan izinkan maksiat dan mungkar bersarang dalam rumahtangga yang dibina.
  3. Mengisi rumahtangga dengan pengisian ruhiyah (spiritual), fikriyah (pemikiran) dan syakhsiyah (akhlak) berteraskan Islam yang syumul. Jangan jadikan rumahtangga seperti kubur yang sunyi tanpa aktiviti amal Islami.
  4. Rumahtangga sebagai Markaz Dakwah yang merencana orientasi dan gerakkerja melalui perbincangan dan penglibatan bersama seisi keluarga di arena dakwah sekaligus mengkaderkan anak-anak supaya menjadi pejuang. Jangan benarkan seorang pun anggota keluarga memisah diri dari suasana perjuangan.
  5. Mewujudkan budaya Tanasuh (nasihat menasihati) dan Tafahum (saling memahami) dalam mendepani apa jua situasi rumahtangga. Jangan terlalu emosi apatah lagi menggunakan kekerasan seperti memukul isteri dan mengherdik menggunakan bahasa yang kasar dan kesat.
  6. Melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan hak isi keluarga (suami, isteri dan anak). Jangan abaikan tanggungjawab seperti nafkah zahir dan batin jua jangan rampas hak yang wajib ditunai terhadap keluarga seperti hak mendapat perhatian, kasih sayang dan perlindungan.
  7. Menangani permasalahan rumahtangga yang melanda secara matang dan harmoni. Jangan buat keputusan terburu-buru dan emosi seperti cepat menjatuhkan talak atau suka meminta cerai.
  8. Menghindari 1001 anasir negatif seperti buruk sangka, fitnah dan sebagainya. Jangan izinkan anasir yang merosakkan kedamaian rumahtangga seperti hilang thiqah (kepercayaan) kepada pasangan tumbuh dan berbunga di laman rumahtangga kita.
  9. Pengurusan ekonomi yang stabil dan kreatif menambah sumber kewangan untuk keluarga dan dakwah Islam. Jangan malas berdikari untuk mencari rezeki pula malas berfikir untuk merancang kebahagiaan masa depan keluarga.
  10. Melibatkan diri dengan Amal Jamaei (aktiviti berjamaah) dan Amal Ijtimaei (aktiviti bermasyarakat). Jangan jadi kera sumbang tanpa penglibatan aktif dalam amal Jamaei seperti menghadiri usrah, tamrin, liqa fikri, dakwah fardiah, majlis ilmu dan sebagainya.

 

Keluarga Sakinah

 

Ketenangan atau sakinah dalam rumahtangga banyak bergantung kepada keharmonian dan kebahagiaan yang berjaya dicipta. Sementara keharmonian dan kebahagiaan itu pula terhasil dari pasangan yang saling percaya mempercayai, cinta mencintai dan faham memahami antara satu sama lain. Kekayaan dan kemewahan tidak boleh menjamin kebahagiaan. Kebahagiaan bukan nilai tukaran semasa dengan material. Kebahagiaan adalah anugerah Allah yang dikurnia kepada mereka yang menepati objektif “Rumahku Syurgaku”.
Seorang pejuang yang hebat adalah pejuang yang memiliki keluarga sakinah. Keluarganya menjadi markaz atau pusat tarbiyah yang akan membekalkan “energy” dan motivasi perjuangan. Ia akan lebih bertenaga dan hebat di medan juang. Benarlah kata hukama’, “Mujahid yang hebat di medan, di belakangnya Mujahidah yang gigih berperanan…”
Para pejuang Islam mesti menginsafi betapa perlunya keluarga sakinah dalam kehidupan mereka. Setelah lesu anggota beraksi dan tepu otak berfikir, maka keluarga sakinah ini akan menjadi destinasi berlabuh. Ia bagai sebuah dermaga damai dan indah untuk mengumpul kembali tenaga dan daya fikir. Isteri penyayang menanti di pintu rumah dengan penuh beradab dan menyambut kepulangan seorang pejuang dengan penuh rindu. Ia menjadi protokol rutin keluarga sakinah. Anak-anak riang lantas menerpa ke arah ayahnya sang pejuang dengan kegembiraan yang bukan kepalang.
Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam pernah ditanya, bagaimana isteri yang solehah?
Jawab Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam :-
التي تَسُرُّهُ إذا نَظَرَ و تُطِيْعُهُ إذا أَمَرَ و لا تُخاَلِفُه فيما يَكْرَهُ في نَفْسِها و مَالِهِ
“(Isteri) yang menyenangkan dia apabila memandang (kepada isterinya) dan yang mentaatinya apabila dia menyuruh (isterinya) dan dia tidak menyanggahi suaminya dengan melakukan perkara yang dibenci di dalam dirinya (isteri) dan harta suaminya.” (Riwayat Imam Ahmad)
Saban hari suami ke medan juang, perginya diiringi doa munajat penuh redha dan percaya, sementara pulangnya disambut dengan peluk cium penuh kasih dari isteri yang solehah demi berkongsi pahala perjuangan. Isteri seorang pejuang bagai “the first secretaries” tanpa jemu dan lelah membantu mengurus keceriaan di rumah, menyelenggara pembesaran dan pendidikan anak-anak serta mengendali amanah keluarga dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.
Suami pula tidak mempersia-siakan keadaan. Fokus memacu perjuangan Islam dengan penuh optimis dan semangat. Menghargai kepercayaan isteri dan pengorbanannya. Berhari-hari bahkan berminggu-minggu di tengah medan perjuangan, biarpun sibuk dan sukar bagaimana sekalipun, tanggungjawab dan keperihatinan terhadap anak dan isteri dirumah tidak pernah dialpakan. Memanafaatkan teknologi komunikasi untuk bertanya khabar anak isteri dan melepaskan kerinduan mereka di rumah, tika jauh musafir ke tengah medan dakwah lalu menitipkan buah tangan biarpun tidak seberapa buat anak dan isteri tika menjengah pulang.
Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam telah bersabda :-
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا , وَخِيَارُكُمْ خِيَارُكُمْ لِنِسَائِكُم
“Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya dari kalangan mereka dan orang yang paling baik dari kalangan kamu ialah orang yang paling baik melayani isteri mereka.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Hibban)